Berita

Syarat baharu kad kredit

Syarat baharu kad kredit

Sumber: Utusan Malaysia.



Nor Shamsiah Mohd. Yunus menyampaikan taklimat mengenai garis panduan baharu kad kredit di Bank Negara,

KUALA LUMPUR 18 Mac 20011 – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan syarat-syarat baharu lebih ketat berkuat kuasa serta-merta bagi pemilikan kad kredit.
Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, di bawah garis panduan itu, syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit baharu memerlukan had pendapatan minimum dinaikkan kepada RM24,000 setahun berbanding RM18,000 sebelum ini.
‘‘Para pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang, hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja.
‘‘Mereka yang sedia ada memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan pengeluar kad yang menjadi pilihan.
‘‘Selain itu tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun diberikan kepada pemegang kad untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang dibatalkan,’’ kata kepada pemberita selepas memberikan taklimat mengenai garis panduan baharu kad kredit di sini hari ini.
Nor Shamsiah berkata, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad berkenaan tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan mereka dengan setiap pengeluar.
‘‘Bagi mereka yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh penangguhan selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu itu,’’ jelasnya.
Pada masa ini, pemegang kad kredit di Malaysia adalah seramai 3.2 juta orang dengan 50 peratus adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM36,000 setahun.
Nor Shamsiah menjelaskan garis panduan baharu itu merupakan usaha berterusan untuk menggalakkan pemegang kad kredit mengamalkan amalan pengurusan kewangan berhemat.
‘‘Kami melihat terdapat aliran peningkatan dalam hutang isi rumah yang disebabkan oleh kad kredit tetapi ia tidak membimbangkan. Perkembangan ini, bagaimanapun perlu dikawal supaya tidak menjadi lebih buruk.
‘‘Pengenaan syarat-syarat baharu juga bertujuan menggalakkan amalan perniagaan yang wajar dan bertanggungjawab oleh pengeluar kad kredit,’’ kata beliau.
Pada masa yang sama, pengeluar kad kredit juga ditegah menaikkan had kredit dan menawarkan pendahuluan dalam bentuk cek berbayar tanpa dipohon dan mendapat persetujuan pemegang kad terlebih dahulu.
‘‘Pengeluar kad dikehendaki menyediakan lembaran penzahiran produk (produk disclosure sheet) yang mempunyai maklumat penting, yuran dan tanggungjawab pemegang kad dengan jelas,’’ katanya.






Laporan Khas: Kad kredit antara punca hutang besar

10 juta pengguna di negara ini dilaporkan mempunyai tunggakan lebih RM24.4 bilionOleh Mohd Azis Ngah dan Alzahrin Alias
bminggu@bharian.com.my
2010/07/24
KUALA LUMPUR: Lebih 10 juta pengguna kad kredit di negara ini mempunyai jumlah tunggakan RM24.4 bilion tetapi hanya 30 peratus daripada mereka membayar balik baki penuh setiap bulan.
Statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 itu juga menunjukkan pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan. Pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.
Kajian juga menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.
Faktor kadar faedah tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang lebih mengaut untung serta sikap pengguna tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit.
Walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata keghairahan memiliki kad kredit itu terlalu kuat terutama kepada golongan muda yang baru terbabit dunia pekerjaan dan menjalani kehidupan sebenar.
Walaupun berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, jumlah pengguna kad kredit yang diisytiharkan muflis mencatatkan penurunan tetapi masih pada kadar membimbangkan iaitu 1,346 kes pada 2005; 790 kes (2006); 797 kes pada 2007; 647 kes pada 2008; 570 kes 2009 dan 267 sehingga Mei 2010.
Sehubungan itu, FOMCA menyarankan bank dan institusi kewangan yang memberi pinjaman harus mengambil tindakan drastik menangani masalah ini dengan memikirkan kaedah penyelesaian terbaik, bukannya meletakkan nilai komersial dan keuntungan sebagai keutamaan mereka.
“Sebagai pengguna kita memang ada keinginan dan ramai yang memohon kad kredit tanpa memikirkan kemampuan membayar balik. Pihak bank perlu lebih peka dengan mengetatkan prosedur permohonan dan kelulusan supaya mereka yang layak saja diberikan kemudahan ini.
“Ada sesetengah bank meluluskan permohonan dengan mudah tanpa menyelidik status kewangan pemohon. Sepatutnya mereka pastikan dan kaji latar belakang serta kemampuan pemohon. Ada yang menawarkan pelbagai, seolah-olah berlumba mencari pelanggan kad kredit,” katanya.
Selain prosedur kelulusan longgar, FOMCA turut mendedahkan ada pengguna kad kredit sanggup berhutang kerana mahu hidup gaya mewah termasuk bertujuan semata-mata mahu menyertai kumpulan anak muda daripada golongan kaya.
Walaupun penggunaan kad kredit diperlukan dalam banyak urusan tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan kepada pihak bank untuk memerangkap pengguna dengan pelbagai syarat terselindung di sebalik syarat perjanjian yang ditandatangani pemegang kad kredit.




Standard keselamatan kad kredit dipertingkat

PENGGUNA kad kredit akan menikmati tahap keselamatan lebih tinggi tidak lama lagi apabila semua pihak berkaitan penggunaannya di negara ini diwajibkan mematuhi keperluan standard keselamatan baru Majlis Keselamatan Standard jenama pembayaran dunia (PCI DSS).
Di bawah standard baru yang perlu dipatuhi selewat-lewatnya 30 September ini, semua bank, syarikat insurans, hotel, pedagang, hospital dan gedung membeli-belah di seluruh dunia perlu memastikan data maklumat semua pemegang kad kredit yang berurusan dengan mereka sentiasa disimpan, diproses dan dihantar secara selamat.
Ahli majlis PCI terdiri daripada syarikat pembayaran utama dunia seperti Visa Inc, MasterCard Worldwide, JCB International dan Discover Financial Services.
Pengurus AP Cyber Security Assessment Services, sebuah syarikat perunding bagi keselamatan transaksi kad kredit, Dr Jean-guy Rioux, berkata pematuhan kepada standard baru itu bertujuan mengurangkan kes penipuan kad kredit yang semakin meningkat di seluruh dunia.
“Standard baru ini bukan saja akan melindungi pemegang kad kredit tetapi juga pedagang daripada jenayah penipuan kad kredit,” katanya pada sidang media sempena persidangan PCI DSS di Kuala Lumpur, semalam.
Rioux berkata, pematuhan kepada standard keselamatan baru itu diwajibkan berikutan peningkatan kebimbangan di kalangan ahli majlis PCI mengenai tahap keselamatan perlindungan data maklumat kad kredit.
“Standard baru itu yang sudah diguna pakai di Amerika Syarikat lebih awal ternyata berjaya mengurangkan kes penipuan kad kredit sehingga 40 peratus di negara itu,” katanya.
Mengikut laporan Pusat Aduan Jenayah Internet FBI, pada 2008, jumlah kerugian akibat penipuan kad kredit menerusi pembayaran secara ‘online’ di AS berjumlah AS$265 juta (RM848 juta), meningkat 33.1 peratus daripada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Rioux berkata, di Asia Tenggara saja, kira-kira 45 juta kes penipuan kad kredit dilaporkan berlaku di rantau ini tahun lalu membabitkan kad kredit penduduk tempatan dan pelancong asing yang datang ke sini.
“Pelancong ke Indonesia dan Thailand sering menjadi sasaran penjenayah kad kredit ini yang turut terdiri daripada pekedai di kawasan pelancongan utama,” katanya.
Jelasnya lagi, kes penipuan kad kredit di mana-mana bahagian di dunia sentiasa dalam aliran meningkat berikutan pertambahan pengguna kad berkenaan.
“Keadaan itu sedang berlaku di rantau ini sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi Asia Tenggara yang menyebabkan semakin ramai penduduknya menggunakan kad kredit.
“Semakin banyak kad kredit dalam edaran maka semakin banyak kes penipuan akan berlaku,” katanya.